Ads 468x60px

Wednesday 28 September 2011

Bertemu Sahabat Lama & Kuliah Dr Mohd Asri

Assalamu'alaikum wbt.

Pada hari sabtu bersamaan dengan 24 September 2011, aku bertemu sahabat lama aku iaitu Hassan. Beliau merupakan sahabat karib aku sejak di zaman sekolah menengah lagi hinggalah sekarang. Agak lama juga dia bertemu dan kali berakhir kami bertemu adalah pada awal bulan Jun 2011. Aku bertemu dengan Hassan pada ketika itu adalah majlis walimatul 'urs Hassan di Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang.

Sesungguhnya takdir Allah tidak siapa duga. Banyak kali rancangan untuk menemuinya tetapi tidak berjaya atas sebab Hassan mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan. Suatu hari, aku menghubungi Hassan untuk mengajaknya ke kuliah bulanan Riyadus Solihin oleh Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Hassan kali ini menyambut ajakan aku kali ini dengan dia boleh hadir bersama. Aku bergembira tak terkata. Bukan senang kami nak bertemu. Amat sukar lebih-lebih lagi Hassan yang kini menggalas tanggungjawab yang berat kerana telah menjadi suami orang dan nanti akan menjadi ayah kerana diberitakan bahawa isterinya telah hamil.

Kalau nak diimbas memori silam, sering kali setiap perkara yang aku mengalami kesusahan atau Hassan mengalami kesusahan, memang kami merujuk sesama kami. Ini untuk bertukar pendapat dan pandangan serta mencari jawapan yang tepat dalam merungkai permasalahan tersebut. Sahabat yang benar adalah mereka yang sentiasa memberi pertolongan kepada sahabat mereka walau di mana juga keadaan sekalipun. Apabila dah bertemu, macam-macamlah yang kami borakkan terutamanya membabitkan persoalan hidup berprinsip dalam beragama.

Kebetulan pula kuliah yang aku ajak ini merupakan kuliah terakhir Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin kerana selepas ini beliau akan berada di luar negara atas urusan penyelidikan seperti mana dahulu. Maka, kehadiran Hassan pada kuliah ini cukup bermakna baginya kerana selepas ini Hassan agak susah untuk menghadiri kuliah beliau. Peluang ini diambil semanfaatnya oleh Hassan yang berjaya mendapat kelapangan untuk menghadiri majlis ilmu.

Kuliah Riyadus Solihin itu adalah merupakan kuliah terakhir oleh Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Kuliah pada hari tersebut membahaskan mengenai hukum hudud yang rancak digembar-gemburkan oleh media-media massa. Beliau membahaskan bagaimana hudud hendak diaplikasikan di dalam sebuah negara yang majmuk. Bagaimana sekiranya masyarakat belum memahami konsep keadilan dalam melakukan sesuatu hukum ke atas pelaku jenayah? Dalam keadaan seperti ini, pentingnya untuk kita memahami suasana yang kondusif dan bukan kondusif dalam melaksanakan hukum hudud. Ini seperti mana yang beliau sebutkan dalam laman webnya:

"Situasi yang kondusif di mana apabila hukuman hudud itu dilaksanakan akan mencapai matlamat hukum itu disyariatkan. Tertegak keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat. Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri."

Dan apabila melaksanakan hukum hudud ini, beliau nyatakan perlu juga dihapuskan membanteras maksiat secara intipan. Ini sebenarnya perkara yang ditegah oleh agama. Sedangkan maksiat terbuka dan nampak depan mata tidak dicegah, mengapa mahu cegah maksiat yang tertutup padahal yang tertutup itu urusan pelaku dosa dengan Allah bukan urusan kita. Ini sebahagian isi kuliah yang aku petik. Nak secara penuh tonton di sini:


Selesai kuliah, sempat kami bergambar dengan Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sebagai kenangan berada di majlis ilmu ini khususnya bagi Hassan yang jarang-jarang dapat meluangkan masa untuk ke majlis ilmu atas kekangan masa.


- Gambar Kenangan -

Selepas berakhirnya kuliah, Hassan bawa aku makan di Maluri berdekatan dengan rumah mertuanya. Aku dah lama tak lalu Maluri. Kedai makan yang Hassan bawa ini adalah sebuah restoran mamak yang dahulunya aku dengan Hassan makan bersama ketika Hassan duduk di hostel di kawasan Maluri. Alhamdulillah, makanannya tetap sedap seperti dahulu yang pernah kami makan. Dan dalam diam, tak sangka pulak tiba-tiba saja Hassan belanja aku makan. Semoga Allah murahkan rezekimu wahai sahabatku.

Berakhir sudah makan, Hassan hendak ke rumah mertuanya yang berada berdekatan dengan restoran itu. Sebelum itu, aku sempat memberi beberapa barang yang aku janji nak beri tetapi tidak sempat. Akhirnya, hari tersebut dapat tertunai hasrat aku. Dan semoga Hassan memanfaatkan barang yang aku beri kepadanya. Kemudian, barulah kami berpisah untuk kesekian kali. Semoga kami bakal bertemu lagi di lain masa dengan izin Allah.

Maha Suci Allah yang mengurniakan aku dengan sahabat yang baik seperti Hassan. Dulu sebagai rakan mainan sahaja, tetapi sekarang sebagai rakan, teman, taulan dan sahabat dalam setiap aspek kehidupan lebih-lebih lagi apabila hidup dengan berpegang kepada prinsip salafussoleh.

Wallahu'alam.


Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
28 September 2011/30 Syawal 1432H

0 comments:

Post a Comment