Ads 468x60px

Saturday, 17 December 2011

Kembara Ke Bumi Klang

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Tatkala manusia sibuk mengejar harta dunia, aku pula memilih untuk melakukan kembara secara perseorangan ke bumi Klang. Kembara aku ke Klang ada perancangannya tersendiri. Sebab aku ke Klang adalah kerana menghadiri jemputan walimatul 'urs di Meru. Yang menjemput ini adalah wanita yang dahulu pernah menjadi wanita idamanku, namun disebabkan faktor prinsip pegangan hidup aku rela berpisah dengannya. Sebab yang lain kerana hendak melawat sahabat karibku di Pulau Indah.

Kembara ke Klang ini berlaku pada hari sabtu iaitu pada 3 Disember 2011. Aku bertolak dari Kuala Lumpur tepat pukul 1.30 tengahari. Aku memulakan kembara aku dari Kuala Lumpur ke Meru. Kemudian barulah ke Pulau Indah. Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Meru mengambil jarak kira-kira 48 kilometer. Masa perjalanan yang diambil pula adalah kira-kira sejam setengah. Sampai di Meru pada pukul 3.00 petang. Kalau ikutkan kepada jarak dan masa, sepatutnya ianya hanya mengambil masa sejam tetapi disebabkan kesesakan di jalanraya menyebabkan masa yang diambil adalah sejam setengah.

Sampai di Meru, aku terkenang akan kisah lamaku dengan wanita ini. Banyak yang hitam daripada yang putih. Banyak yang keruh daripada yang jernih. Tapi, itu kisah 3 tahun yang lalu. Aku sekarang bukan lagi insan 3 tahun yang lalu. Insan yang mempunyai identiti tersendiri. Ada prinsip dan pegangan hidup tersendiri yang tidak mungkin orang lain boleh campur tangan disebabkan impian dan cita-cita aku. Aku hadir ke Meru ini hanyalah kerana menerima jemputan walimatul 'urs dan untuk merapatkan ukhuwah yang lama tercalar. Lagipun, ia merupakan sunnah yang dituntut untuk hadir tatkala kita menerima jemputan walimatul 'urs.


Lokasi majlis walimatul 'urs di Meru

Tatkala aku hadir, aku terserempak dengan kenalan lama yang lain. Gembira tak terkata. Aku yang datang lewat ini makan bersama mereka. Selepas selesai makan, aku bertemu dengan pengantin baru dan mengucapkan ucapan 'semoga Allah memberi keberkatan dan memberikan kebaikan ke atas mereka'. Apabila aku bertemu dengan pengantin, aku terkejut. Rupanya baru aku tahu. Majlisnya ini dibuat mengikut adat dan tradisi masyarakat Melayu dalam perihal majlis perkahwinan. Sungguh aku kecewa kerana beliau mengenakan tabarruj pada diri beliau. Dengan ini jelaslah, prinsip beliau sebenar iaitu tidak statik seperti mana 3 tahun yang lalu. Inilah hikmah besar mengapa aku tidak bersama dengannya kerana tidak teguh kepada prinsip Islam yang mengikut cara yang sahih.

Selepas selesai menghadiri walimatul 'urs di Meru, aku menuju ke Pulau Indah. Menziarahi sahabat karibku, Hassan. Beliau susah berpesan kalau singgah Klang jangan lupa singgah rumahnya. Maka, kali ini aku tidak akan terlepas untuk menziarahi rumahnya di Pulau Indah. Perjalanan bermula pada pukul 4.00 petang. Jarak perjalanan dari Meru ke Pulau Indah adalah kira-kira 38 kilometer. Rupanya Klang ni daerah yang terbesar di Selangor. Aku google map cara nak ke Pulau Indah dari Meru dia bagi arahan, jauh sampai jangkaan masa untuk sampai adalah 40 minit. Kagum aku dengan Klang!


Pulau Indah

Perjalanan ke Pulau Indah sangatlah sesak pada petang itu. Aku terpaksa membawa tahap kesabaran aku di tahap maksima apabila hendak keluar dari Meru itu pun mengambil masa yang begitu lama. Kemudian hendak memasuki jambatan yang menghala ke Pulau Indah pun lama sebab semua kenderaan lalu jalan yang sama. Ketika memandu kereta pada jarak perjalanan yang jauh ini sangatlah menguji kesabaran.


Memandu dalam keadaan letih dan tegang


Insiden yang dibenci: Memotong lorong orang dengan sesuka hati

Sampai di Pulau Indah pada 4.40 petang. Hassan datang menjemput aku di tepi jalan berdekatan dengan Persiaran Masjid Sultan. Rumahnya di Pangsapuri Samudera iaitu di Kampung Perigi Nenas. Sampai di rumahnya kira-kira pukul 5.00 petang. Sungguh memang aku kagum dengan Pulau Indah. Daerahnya dekat tepi laut. Tenang dan mendamaikan daripada hiruk-pikuk kesesakan di bandar seperti di Kuala Lumpur. Hassan asal orang kampung di Pahang dan kemudian akhir dengan tinggal di kampung di Pulau Indah. Sungguh beliau memang orang kampung. Hebat!

Rumah Hassan di Pangsapuri Samudera ini terletak di tingkat 4. Rumah yang biasa sederhana. Di pangsapuri yang dia duduk ini, ada kemudahan yang disediakan. Antaranya, nak letak kenderaan mudah sebab banyak ruang dan kedai makan dekat. Apabila berada di rumahnya, dia menjemput aku makan. Disebabkan aku dalam permusafiran dia suruh aku makan banyak-banyak biar banyak sikit tenaga nak balik Kuala Lumpur nanti.


Makanan yang dihidang kepadaku


Hassan dengan ceria melayani sahabat karibnya yang datang dari jauh

Sepetang bersama Hassan memang menarik. Ziarah ini bukan ziarah yang kosong. Tetapi ia lebih kepada mengeratkan lagi silaturrahim antara aku dengan Hassan. Kami bersembang mengenai erti hidup dalam berpegang kepada prinsip. Biar orang cemuh kita, asal kita tidak tinggalkan prinsip sebenar dalam memperjuangkan Islam. Kemudian, bersembang pula tentang hidupnya selepas mendirikan rumahtangga. Isterinya telah hamil enam bulan. Moga dipermudahkan urusan untuk menimang anak yang pertama. Ada juga sembang tentang kerjaya masing-masing. Dia bekerja di salah sebuah syarikat perlabuhan di Pelabuhan Klang. Sembang dengan Hassan hingga tercetus idea berkenaan perjumpaan dengan rakan-rakan lama. Mungkin suatu hari nanti akan diajak rakan-rakan lama untuk datang ke Pulau Indah. Kerana di sini, boleh lepak tepi laut, sewa naik bot, memancing dan bersantai.

Pulau Indah boleh dijadikan lokasi strategik untuk aku dan rakan-rakan bersembang dan bersantai sesama kami. Tujuan adalah untuk mengeratkan ukhuwah silaturrahim dan bermuhasabah terhadap bumi Allah s.w.t. yang sangat luas dan indah. Kadangkala duduk di bandar tidak menyenangkan bahkan memeritkan. Dengan mengembara ke Pulau Indah, lokasi yang dekat dengan laut ini dapat menenangkan jiwa serta mendekatkan diri dengan ciptaan Allah s.w.t. yang Maha Agung.

Aku mengakhiri ziarah aku di rumah Hassan pada 7.30 malam iaitu selepas solat Maghrib. Kemudian, aku bertolak ke Kuala Lumpur. Hassan pun hendak keluar, jadi kami keluar bersama dari Pulau Indah. Dia ada urusan di Shah Alam. Kami berpisah di tol KESAS.

Semasa dalam perjalanan hendak balik ke Kuala Lumpur, aku masih terbayang akan indahnya ukhuwah bersama rakan yang sama fikrah dan sama prinsip. Di saat ini, hendak melakukan gerak kerja dalam dakwah ada kemudahan di situ. Tidak semudah itu untuk mencari rakan yang sama misi dan visi dan juga yang mahukan Islam itu dijulangkan dengan cara yang menepati tuntutan yang sahih. Maka, aku sangat bersyukur kerana di kurniakan rakan seperti Hassan. Moga ukhuwah kami tidak terpisah tetapi berkekalan hingga ke akhir hayat.


Ikmal Johari
Kuala Lumpur
17 Disember 2011/21 Muharram 1433H

2 comments:

Abu_Zubair said...

terbaekk la bro....
semoga Allah menetapkan kita di atas jalan yg benar..semoga kembara hidup kita dipermudahkan Allah Jalla wa Ala

Ikmal Johari said...

Insya Allah. Ada hikmah yang besar.

Post a Comment