Ads 468x60px

Saturday 12 March 2011

Ujian Kesusahan vs Ujian Kesenangan

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Setiap hari manusia sering diuji dengan pelbagai ujian oleh Allah s.w.t. Ujian yang Allah swt berikan itu adakalanya ujian berat dan ringan. Ujian Allah s.w.t. tidak boleh dijangka oleh hamba-Nya kerana ianya adalah kuasa mutlak Allah s.w.t. Di antara hikmah Allah swt menurunkan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mendidik, mentarbiyah dan mempelajari manafaat yang terdapat di dalam setiap ujian yang Allah s.w.t. berikan kepada hamba-Nya untuk mengetahui siapakah di kalangan hamba-Nya yang layak untuk mendapat ujian.

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad: Ayat 31)

Demikianlah penjelasan Allah adalah untuk menguji hamba-Nya sama ada mereka ini adalah orang-orang yang sabar dalam menghadapi ujian Allah atau sebaliknya. Apakah adanya perbezaan di antara ujian kesusahan dan ujian kesenangan? Sebenarnya, terdapat perbezaan di antara kedua-dua ujian ini. Lihatlah di dalam kisah Yusuf a.s. bagaimana ujian yang ditimpa ada dua; ujian kesusahan dan ujian kesenangan.


Ujian Kesusahan

Pertama kali Yusuf a.s. diuji ialah apabila Yusuf a.s. diuji oleh kedengkian abang-abangnya yang mencampaknya ke dalam perigi. Disebabkan oleh kedengkian mereka terhadap Yusuf a.s. kerana Yaakob a.s. terlalu sayangkan Yusuf a.s., maka mereka melakukan sedemikian.


(Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna". (Surah Yusuf: Ayat 9)

Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu". (Surah Yusuf: Ayat 10)
Kemudian, Yusuf a.s. diuji pula dengan ujian dipungut oleh saudagar kafilah dan dijual kepada pembesar Mesir. Pada zaman sekarang boleh dianggap menjual hamba abdi sebagai barang dagangan.


Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru dengan katanya: "Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)". (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (Surah Yusuf: Ayat 19)
Dalam keadaan sedemikian, agak sukar untuk menyesuaikan kehidupan kerana diuji dengan ujian yang berat. Pun begitu, ujian ini tabah dihadapi oleh Yusuf a.s. dan sebenarnya sebagai manusia biasa yang bukan seorang Rasul atau Nabi, ujian seperti ini adalah lumrah kehidupan seorang manusia.

Ujian Kesenangan

Tetapi bagaimana pula dengan ujian kesenangan? Adakah kita sudah berupaya untuk menghadapi cabaran ini? Tidak ramai berjaya menempuh dugaan kesenangan berbanding dugaan kesusahan kerana dugaan semasa kesusahan adalah perkara asas dalam menempuh kehidupan tetapi dugaan semasa kesenangan merupakan suatu cabaran yang bukan mudah dan tidak biasa ditempuhi.

Bagaimana untuk menghadapi cabaran ujian kesenangan yang melanda pada zaman sekarang dengan pelbagai kemudahan di depan mata agak sukar untuk manusia melaluinya. Kebanyakan mereka tewas kepada tipu daya keduniaan dan godaan syaitan.

Allah s.w.t. telah menjelaskan ujian kesenangan di dalam kisah Yusuf a.s. ketika Yusuf a.s. menghadapi ujian isteri kepada pembesar mesir. Dan Yusuf a.s. telah bertindak dengan bijak dalam menghadapi situasi seperti ini dengan memohon perlindungan Allah s.w.t. Yang Maha Berkuasa ke atas segalanya.


Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". (Surah Yusuf: Ayat 23)
 
Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. (Surah Yusuf: Ayat 24)
Justeru, sebagai muslim kita harus menganggap bahawa ujian kesenangan adalah ujian paling berat dalam mendidik jiwa dan rohani sebagai muslim yang produktif kerana bukanlah senang untuk menangani ujian kesenangan bahkan pelbagai cabaran terhadapnya. Ramai yang tersungkur apabila menikmati kesenangan sehingga ada yang lupa diri, lupa keluarga dan lupa kepada Allah s.w.t.! Mohon agar kita semua dijauhkan daripada sedemikian.

Senjata Perlindungan Diri

Jadi, bagaimanakah kita sebagai seorang muslim yang takut akan ujian-ujian seperti ini untuk melindungi dan mempertahan diri kita daripada ujian seperti ini. Sebenarnya, Allah s.w.t. telah memberikan jawapan yang tertera di dalam Surah Yusuf sebentar tadi. Istiqamah juga merupakan suatu perkara asas yang penting dalam mempertahankan akidah, iman dan taqwa kita daripada goyah dan terpengaruh kepada mehnah ujian seperti ujian kesenangan ini.

Senjata untuk melindungi diri yang disebutkan oleh Allah s.w.t. telah dijelaskan melalui tindakan Yusuf a.s. terhadap godaan isteri pembesar mesir. Dalilnya adalah dengan berpegang kepada ayat ini:

مَعَاذَ اللّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ

"Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".

Selain itu, terdapat di dalam hadis-hadis sahih yang menerangkan tentang doa melindungi diri daripada ujian seperti ini.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari azab neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah dajjal dan dari sebarang fitnah sewaktu hidup juga ketika menghadapi kematian”. (Hadis Sahih: al-Bukhari 2/102 dan Muslim 1/412.)

Rujukan tambahan mengenai doa perlindungan diri boleh rujuk di sini:



Wallahu'alam

Ikmal Johari
Kuala Lumpur
17 April 2010/2 Jamadil Awal 1431H

* Penulisan yang dipindahkan daripada Tajdid Dakwah

0 comments:

Post a Comment