Ads 468x60px

Saturday 12 March 2011

Baca Buku Berguru Dengan Syaitan? Betulkah Kenyataan Ini?

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Suatu ketika dahulu, saya pernah berbicara dengan seorang wanita xxx tentang isu bid'ah. Dia membawa persoalan kepada saya dan kemudian membalas balik kepada saya tanpa hujjah tetapi dengan emosi sedang saya berhujjah dengan membawa nas yang terdapat daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Saya kaitkan dengan buku Amalan Berzikir: Antara Sunnah & Rekaan Manusia yang mana di dalamnya terkandung isi Al-Quran dan hadith. Di dalam perbincangan itu, saya melihat dia seakan-akan asyik mahu menang setiap kali isu yang diperbincangkan. Boleh juga dikatakan beliau mengikut kepada gelora nafsunya sehingga bila berbahas nampak gelora penumbuk di tangannya digenggam dan wajah yang manis lagi ceria dilihat seperti wajah di dalam semarak api kemarahan di atas sebab dialog ini saya banyak membawakan sumber daripada al-Quran dan hadith.


Apabila mati hujjahnya, dia berhujjah dengan mengatakan bahawa saya tuntut ilmu ini dengan siapa? Siapakah guru-guru saya sampai hebat sangat cakap semua tak boleh dan kena ikut al-quran dan hadith? Buku Amalan Berzikir: Antara Sunnah & Rekaan Manusia ini pula betul ke? Bagus sangat ke buku ini? Bukannya betul sangat..Bahaya kalau tuntut ilmu dengan buku sebab boleh bawa sampai berguru dengan syaitan. Pada ketika itu, saya mengurut dada dan bersabar sehinggalah ke hari ini.

Namun, dengan izin oleh Allah SWT, saya telah menemui kenyataan yang dapat mematahkan hujjah yang palsu ini di http://al-fikrah.net.

Antara komentar yang menarik adalah:

Pertama:
Maksud berguru ialah agar kefahaman lebih jitu berbanding membaca tanpa panduan/ tunjuk ajar orang lebih berilmu.. membaca ialah satu cara menambah ilmu, untuk mentajamkan pemahaman, perlunya berguru untuk mengelak pemahaman menyimpang dari maksud asal.. boleh rujuk kalam Syeikh Abu Bakr Zaid r.h tentang cara menuntut ilmu (حلية طالب العلم).

Kaedah talaqqi atau mengadap syeikh, adalah kaedah asal dalam syarak. (lihat ibid, hlm.15). Berdalilkan hadis iman & islam, ketika Jibril a.s datang kepada Nabi saw di hadapan para sahabatnya lalu bertanya tentang Islam, rukun iman, tanda-tanda Hari Kiamat dan sebagainya. tamat sesi tersebut, Nabi saw bersabda, sesungguhnya Jibril a.s datang mengajar kalian akan agama kalian.
Kedua:
Relevankah kata-kata itu lagi, tidak silap dari himpunan syair karya Imam Nawawi rhm.

Tapi wahyu pertama menyebut bacalah, kenapa itu orang kita tidak ikut tapi kata-kata yang bukan dari wahyu mahu hadis yang menjadi kerisauan.

Kenapa non-muslim lebih ramai yang membaca. Kenapa muslim yang malas membaca itu yang rajin rempit dan buang anak?
Ketiga:
Membaca tak perlu kepada guru....hanya sekadar membaca saja. kalau nak belajar, yang itu kena ada guru...

Proses pembelajaran melibatkan baca, mendengar, menulis, bertanya dan faham. Maka jika kita membaca tetapi tidak faham apa yang dibaca, kita kena bertanya....syarat bertanya, kena bertanya yang ahli dalam bidangnya......fas alu ahli dzikr in kuntum la ta'lamuun.

Mungkin yang dikatakan membaca berguru dengan syaitan itu bermaksud kita membaca dan tidak bertanya. Maksudnya kita tidak belajar, bila tidak belajar, bermakna berguru dengan syaitan. Bagaimana dikatakan berguru dengan syaitan ? Kerana syaitan itu ghaib, tak nampak oleh mata kasar kita...menjadi sesuatu yang aneh bila seseorang yang membaca dalam sesuatu ilmu dan dia tidak bertanya pada seseorang kerana kebiasaannya membaca akan menghasilkan persoalan dan pertanyaan, jadi dengan siapa dia bertanya ?.

Lagipun kata-kata sedemikian merujuk kepada ilmu agama, bermakna ilmu agama tidak boleh didapati dengan sekadar membaca tetapi mesti melalui proses pembelajaran yang benar.

Membaca tidak menjadi kesalahan, tetapi yang salahnya kita tidak belajar, kerana itu menuntut atau belajar agama itu wajib. Rasanya ada perbezaan antara "qara'a" dan "tholaba". Bagaimanapun elemen yang paling penting dalam proses pembelajaran adalah membaca. Jika kita tidak membaca bagaimana kita nak tahu kita ni faham atau tidak sesuatu perkara atau ilmu, seterusnya bagaimana nak bertanya dalam keadaan kita tidak tahu apa yang nak ditanya ? Kalau kita seorang yang kuat membaca, pastinya kita akan ada beribu-beribu persoalan dalam benak kita, maka selanjutnya berlakulah proses pembelajaran.
Keempat:
Baru baca buku saja sudah dikata berguru dengan Syaitan. Itu belum betul2 jumpa setan!

Em, klu nak kata berguru dengan setan, rasanya org yang duk amik zikir2 dan wirid2 tertentu dari guru2 yg dapat ilham masa tidur tu yg dari syaitan kot...
Kelima:
adakah membaca buku dengan berguru bermakna berguru dengan malaikat?

perkara ni simple jer & tak perlu pun rasanya nak debat panjang lebar.

baca buku dengan guru adalah bagus untuk lebih memahami.

baca buku tanpa guru pun bagus kerana meransang pemikiran kritis & out of box.

kesimpulan yang ana pegang : banyakkan membaca buku & fahamkan bukan hafal. kalau tak faham, berbincang & bersoal jawab dengan kawan2 & guru2.
Keenam:
Perkataan atau dakwaan tadi sebagai hadis sufi iaitu:

Barangsiapa yang berguru dengan buku maka syaitanlah gurunya.
Adalah hujah batil dan palsu.

1) Perkara tersebut jelas bukan hadis Nabi SAW

2) Bercanggah dengan firman Allah yang pertama diwahyukan iaitu Iqra' (Bacalah).

3) Melampaui mukjizat al-Quran yang menggalakkan umat Islam membaca.

4) Tidak semua subjek agama perlu berguru kerana banyaknya buku yang mengulas dan menghuraikan subjek tersebut dan hanya beberapa subjek sahaja yang perlu berguru seperti bab fardu Ain seperti tatacara solat, belajar mengaji al-Quran yang diambil secara mutawatir dan dilaksanakan mengikut teknik talaqqi musyafahah bagi menyebut huruf-huruf al-Quran dgn tepat dan betul. Tiadalah golongan yang menyebut Dho berbunyi Dal.

5) Dakwaan itu juga boleh dikatakan palsu kerana Islam adalah fleksibel dalam hal menuntut ilmu dengan firman Allah: Fas'alu ahla al-zikr in kuntum la ta'lamun Maka bertanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahuinya. -al-Quran. Jika tidak tahu, kita disarankan bertanya kepada ahli ilmu yang pakar dalam bidang itu. Takkan soal matematik darjah 6 kita nak tanya kat ustaz juga sebab anggapan matematik juga adalah ilmu Allah. Pilihlah ustaz yang berkemahiran di bidangnya. Ada yang mahir Faraid tapi tidak mahir ilmu al-Quran, ada yang pandai hadis tapi tak mahir bab usul al-fiqh. Jadi bertanya pun kena ada kemahiran.

Insya Allah kita mampu mengetahui bagaimana yang sepatutnya. Bacalah buku, insya Allah tidak sesat kerana yang tidak membaca itu lebih ramai yang sesat.
Maka dengan ini saya sendiri berpegang bahawa tidak wujud kenyataan ini kerana ianya kenyataan daripada sufi yang jelas boleh membantutkan perkembangan idea dan buah fikiran di dalam kritikan minda ilmiah oleh setiap manusia. Nak membaca? Silakan tetapi nilailah dengan permata Al-Quran dan Al-Sunnah. Jika bercanggah, maka bolehlah ditolak tetapi apabila bertepatan janganlah menolak kerana ianya bercanggah dengan prinsip Ahlus Sunnah.

Kalau begitu, tak bolehlah baca kitab-kitab hadis oleh imam-imam besar hadis seperti Ibn Solah, Ibn Hajar al-Asqalani, Ibn Sirin dan lain-lain sebabnya mereka sudah wafat lama sedang kita tak sempat jumpa. Di Malaysia, mana ada yang hebat untuk mengajarkan kitab-kitab karangan imam-imam hebat ini!

Jadi, yang mudah kembalilah kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta pemahaman para sahabat. Ingatlah bahawa Allah swt berfirman:
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah An-nisa ayat 59)
Dan Rasullah SAW juga pernah bersabda:
Kerana sesungguhnya barangsiapa yang hidup daripada kamu, maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Sebab itu, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khalifah al-Rasyidin al-Mahdiyyin (yang mengetahui kebenaran serta mengikutinya) dan gigitlah kamu dengan geraham gigi kamu. (Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi)

Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kuala Lumpur
7 April 2010/22 Rabiul Akhir 1431H

* Penulisan yang dipindahkan daripada Tajdid Dakwah

0 comments:

Post a Comment