Ads 468x60px

Saturday 25 August 2012

Perjalanan Ramadhan 1433H (Bhg I)

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Mukaddimah

Alhamdulillah. Aku direzekikan untuk masih bekerja dengan YTL sehingga kini. Masa berlalu dengan begitu pantas sehingga telah bertemu aku sekali lagi dengan bulan yang mulia, Ramadhan al-Mubarak. Perjalanan aku pada Ramadhan 1433H membawa lakaran sejarah baharu dalam hidup aku. Seperti kebiasaan tahun-tahun sudah, 1 Ramadhan aku akan beriftar bersama keluarga tercinta. Iftar dengan menu yang simple and easy dan kemudian solat berjemaah bersama-sama. Setelah selesai, aku menunaikan solat Isyak dan Tarawih di rumah Pakya di Taman Sri Ukay. Ini adalah rutin aku jika berada di KL.

Pada 2 Ramadhan iaitu bersamaan dengan 22 Julai, aku bertolak ke Penang. Ada tugasan baharu di Penang. Kena siapkan dalam masa 2-3 minggu. Jadi, pada petang itu bermulalah permusafiran aku yang pertama dan pengalaman yang pertama dalam menunaikan ibadah puasa sebagai seorang musafir yang mencari nafkah hidup.

Aku bertolak ke Penang dengan menaiki kereta Saga FLX 1.3 milikku pada jam 5.00 petang. Pada hemat aku, aku boleh tiba awal di Tapah dan iftar di sana. Namun, ternyata sangkaan aku meleset sama sekali apabila aku tidak terdaya untuk meneruskan perjalanan ketika baru sampai di Tanjung Malim. Keadaan yang begitu meletihkan akibat berpuasa dan tiada tenaga menyebabkan aku berhenti untuk berehat dan tidur. Apabila aku terjaga, jam menunjukkan pukul 6.15 petang. Tubuh badan aku ketika itu berasa agak lemah dan meletihkan kerana tidak cukup tenaga untuk meneruskan perjalanan. Lalu, aku teringatkan akan rukhsah (hadiah) yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada para musafir:


(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

(al-Baqarah: 184)


Mengamalkan Fiqh Musafir

Dengan ijtihad yang aku yakini, maka aku berbuka puasa di dalam kereta apabila aku merasa tiada upaya ketika memandu setelah berehat di Tanjung Malim. Inilah kali pertama aku mengamalkan fiqh berbuka puasa ketika bermusafir. Ia bukan perkara yang disengajakan tetapi rukhsah yang telah dikurniakan Allah kepada para musafir dan juga mereka yang sakit atau uzur. Setelah itu, aku mempunyai tenaga yang baik untuk meneruskan perjalanan. Tiba di Tapah, aku makan KFC. Biar tenaga dalam badan mencukupi untuk kuat dalam meneruskan perjalanan ke Penang.

Meneruskan perjalanan ke Penang setelah berehat untuk makan di Tapah. Setibanya di Gunung Semanggol, badan rasa tidak selesa dan aku harus mandi di RnR untuk memberikan kesegaran pada tubuh badan aku. Selesai mandi, aku menunaikan solat jamak qasar di sana dan menjamah sedikit makanan di RnR. Kebiasaan bila aku travel, mudah kelaparan sebab banyak tenaga yang akan digunakan. Dalam perjalanan sebelum ini, aku kerap tidur di RnR disebabkan faktor memandu seorang diri, rasa sunyi dan cepat mengantuk. Untuk perjalanan yang kali ini, ia tidak terlepas sama sekali kerana ia tetap sama. Aku terpaksa banyak berehat daripada memandu tanpa henti.

Akhirnya, aku tiba di Penang pada jam 12.00 malam. Apabila membayar tol di Tol Juru, terasa kenikmatan kerana sudah sampai Penang. Ini merupakan perjalanan aku yang pertama dalam permusafiran di bulan Ramadhan. Ia menguji kekentalan fizikal dan mental, dan spirtual dan jasmani untuk mengharungi perjalanan yang sejauh 300KM tanpa tenaga yang mencukupi. Ia satu pengalaman yang dimiliki hanya setelah kita alaminya sendiri.

Sampai saja di Penang, cari mana hotel yang berdekatan untuk check-in, terjumpalah akan Golden Nasmir Hotel, Juru. Lantas aku ke hotel tersebut tanpa berlengah-lengah. Hotel ini satu malam RM80 seorang. Bilik standard, katil bersaiz "Queen Bed" dan diberikan sahur percuma di Nasmir Cafe. Bagi aku ia memang cukup berbaloi.

Golden Nasmir Hotel

Terjaga untuk sahur, dengan segera aku menikmati sahur pertama aku di Penang dengan pekena Nasi Kandar. Pengalaman ini memang menyeronokkan. Di hotel ini, disediakan juga surau dan aku Subuh di sini bersama pekerja hotel dan cafe ini. Pekerja di sini walaupun bekerja tetapi tanggungjawab menunaikan solat tidak diabaikan. Inilah satu perkara penting yang perlu diambil berat untuk setiap syarikat dan organisasi milik muslim.


Rutin Bekerja & Menginap di Institut al-Qayyim

Pagi itu, sekitar jam 9.35 pagi aku bergegas ke SK Taman Impian. Inilah sekolah pertama yang ditugaskan kepada aku. Bidang kerja aku adalah memasang Internet YES 4G ke setiap sekolah di seluruh Malaysia. Andai ada masalah mengenai connectivity kepada Internet, ada di antara team aku yang akan dihantar. Namun, kehadiran aku ke Penang pada kali ini adalah atas tugasan 're-visit' dan bukannya 'installation'.

Aku ditugaskan untuk mengambil data-data yang tidak lengkap di dalam rekod YTL dan MOE untuk dilengkapkan dengan melawat setiap sekolah yang terdapat kekurangan data. Untuk sekolah ini, data yang tiada adalah kelajuan Internet. Maka, aku melakukan pengujian terhadap Internet di sekolah ini. Kelajuan Internet di sekolah ini kurang memuaskan. Namun, aku sudah maklum kerana ada maklum balas yang mengatakan tentang hal ini. Sekolah lain yang aku hadir pada hari ini juga sama tugasannya seperti di SMK Mengkuang dan SK Seberang Perai.

Setelah selesai urusan ini, aku singgah ke Institut al-Qayyim dan menginap sehingga hari Jumaat iaitu pada 7 Ramadhan bersamaan dengan 27 Julai. Dengan kemurahan warga IQ, aku iftar bersama mereka dan orang ramai di sini kerana iftar dilakukan setiap hari di bulan Ramadhan. Bukan itu sahaja, bahkan solat Maghrib, Isyak dan Qiam Ramadhan di sini. Selain itu, terdapat juga tazkirah selepas Qiam Ramadhan yang disampaikan oleh para asatizah yang dijemput khas.

Lokasi Institut al-Qayyim

Hari demi hari berlalu sebagai pencari nafkah hidup di bumi orang sebagai rutin kehidupan. Bermula pada paginya, bersahur dan menunaikan solat Subuh. Di pagi hari, pergi bekerja ke sekolah-sekolah untuk urusan Internet YES 4G. Dalam bermusafir, solat jangan dilupakan tetapi jangan lupa hadiah yang Allah berikan iaitu dengan menjamakkan dan mengqasarkan solat Zohor dan Asar bersama. Kemudian kembali ke Institut al-Qayyim, kemaskan diri dan bersiap untuk iftar, solat Maghrib dan Isyak. Disusuli pula dengan Qiam Ramadhan dan tazkirah.


...bersambung untuk bahagian kedua


Ikmal Johari
Kuala Lumpur
24 Ogos 2012/6 Syawal 1433H

0 comments:

Post a Comment