Ads 468x60px

Friday 11 March 2011

Kisahku Ketika Berada di Bulan Ramadhan

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Ramadhan kali ini mengimbau kepadaku pelbagai kisah suka dan duka. Yang paling pasti Ramadhan kali ini tidak akan kulupakan buat selama-lama. Mungkin akan dikenangkan sehingga ke akhir hayatku. Ramadhan kali ini juga buat pertama kalinya aku berpuasa dan berbuka bersama sahabat akrabku yang telah melanjutkan pelajarannya dalam bidang syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir sejak beliau melanjutkannya pada 2007. Ramadhan kali ini adanya kesatuan daripada sahabat-sahabat lamaku dan berbuka bersama-sama dan sering juga berbuka di masjid bersama mereka berbanding kebiasaan tahun-tahun sudah. Alhamdulillah, puasa kali ini banyak memberi manfaat bagiku untuk lebih berubah dan berfikiran matang serta keinginan untuk berdakwah kepada orang lain terhadap manhaj salafussoleh.

- Gambar Hiasan -

Kebiasaannya saya solat terawih di Kampung Baru tetapi Ramadhan kali ini 'berubah angin'. Saya mencari yang 'pure sunnah' untuk menunaikan solat terawih. Saya solat terawih di Masjid UIA kebiasaannya walaupun jauh dan dengan hanya berbekalkan motorsikal Kriss 100. Di sana, saya mendapatkan ketenangan ketika menunaikan solat terawih selepas peristiwa yang agak pedih pada awal Ramadhan. Kadangkala, saya solat di Sg. Penchala, tempat tinggal sahabatku yang sambung Mesir. Di sana, dia menjadi imam dan alhamdulillah mengikuti piawaian sunnah dari segi bacaan tartil, tatatertib solat dan tiada tokok tambah di dalam solat terawih. Adakalanya saya solat terawih di rumah saja kerana kesibukan atau keletihan.

10 akhir Ramadhan diberikan kesempatan untuk bersama dengan dua sahabat karib saya ke kuliah Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mantan Mufti Perlis mengenai isu istibat terhadap Kartika dan isu yang berkaitan dengan hal ehwal semasa. Link Download Kuliah Dr Asri. Ramadhan ini tidak dengan pulangan tangan kosong. Malah saya sering dihadiahkan dengan kuliah-kuliah ilmu dan kebanyakannya mengenai isu aqidah, mendekatkan diri dengan sunnah dan cara mengistinbat sesuatu hukum.

Tetapi waktu yang paling mendukacitakan bagi diriku adalah pada 1 Ramadhan ketika mana seluruh dunia Islam menyambut kedatangan bulan yang penuh baraqah. Ketika itu saya berbuka puasa di Serdang bersama rakan-rakan sebuah komuniti nasyid (sekarang tidak aktif lagi), mereka berbalah dengan saya mengenai amalan yang tidak menepati piawaian Ahli Sunnah Wal Jamaah. Cemuhan yang "best" dilemparkan kepada sayau adalah "enta cuba jangan sempit" "enta kena ikut waqi'". Bila saya fikirkan balik, marah ada, geram ada, sedih ada, kelakar dan geli hati pun ada. Mengapakah perkara ini dipersoalkan jika telah terang lagi bersuluh apabila tiada hadith daripada Nabi SAW mengatakan amalan yang telah sebati di dalam masyarakat Malaysia merupakan amalan yang sunnah di zaman Baginda SAW.

Sebagai contoh, persoalan yang ditimbulkan padaku adalah mengenai bacaan yasin di malam jumaat, zikir selepas solat secara berjemaah dan zikir-zikir yang tak sahih. Sebenarnya, perkara ini sangat jelas bertentangan dengan sunnah nabi SAW kerana ianya tiada fadhilat, kaifiat dan pengkhususan terhadapnya. Perkara ini telah saya tinggalkan sejak 2007 setelah saya mengkaji mengenai ketepatan dan kepalsuan fakta di dalam mengenali manhaj.

Fasal pertama; yasin tiada pengkhususan membaca di malam jumaat atau apa-apa kebaikan. Kebanyakan fadhilat yang diamati oleh masyarakat kita umumnya merupakan daripada hadith-hadith dhaif dan maudu'. Sebagai contoh berikut:
Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu mempunyai hati dan hati (inti) Al-Qur'an itu ialah surat Yasin. Siapa yang membacanya maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca Al-Qur'an sepuluh kali". Keterangan : Hadith ini palsu.

Hadith ini diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (No. 3048) dan Ad-Darimi 2:456. Di dalamnya terdapat Muqatil bin Sulaiman. Ayah Ibnu Abi Hatim berkata : Aku mendapati hadith ini di awal kitab yang di susun oleh Muqatil bin Sulaiman. Dan ini adalah hadith batil, tidak ada asalnya. (Periksa : Silsilah Hadith Dha'if No. 169, hal. 202-203) Imam Waqi' berkata : Ia adalah tukang dusta. Kata Imam Nasa'i : Muqatil bin Sulaiman sering dusta. (Periksa : Mizanul I'tidal IV:173).

Jelas sekali tiada fadhilat khusus untuk membacanya. Riwayat lain sebagai contoh:
Bacakanlah surat Yasin kepada orang yang akan mati di antara kamu". Keterangan : Hadits ini Lemah.

Di antara yang meriwayatkan hadith ini adalah Ibnu Abi Syaibah (4:74 cet. India), Abu Daud No. 3121. Hadith ini lemah karena Abu Utsman, di antara perawi hadith ini adalah seorang yang majhul (tidak diketahui), demikian pula dengan ayahnya. Hadits ini juga mudtharib (goncang sanadnya/tidak jelas).

Jelas sekali tiada pengkhususan mengenai pembacaan yasin dan jika ada ianya disenaraikan di dalam senarai hadith-hadith dhaif atau maudu'. Oleh yang demikian, mengapa harus mengamalkan jika hadith mengatakan ianya dhaif atau maudu'? Nilailah sendiri dengan kacamata anda.

Jika mahu membaca surah yang mempunyai fadhilat, mengapa tidak membaca Al-Kahfi atau Al-Baqarah? Sabda Baginda SAW:
"Barangsiapa menghafal 10 ayat dari permulaan surah alKahfi akan terpelihara dari adDajjal -di dalam riwayat lain menyebutkan (10 ayat) dari penghabisan surah alKahfi-" (Riwayat Muslim)

"Bacalah Al-Quran kerana di hari qiyamat kelak ia akan datang memberikan syafa'at kepada tuannya, bacalah dua cahaya iaitu AL-BAQARAH dan ALI-IMRAN, kerana ia berdua akan datang dihari qiyamat kelak seperti dua awan besar atau sekumpulan burung yang akan melindungi tuannya, bacalah AL-BAQARAH kerana sesiapa yang mengambilnya akan mendapat berkat, meninggalkannya adalah penyesalan, dan yang mengambilnya dapat menghalang sihir." (Riwayat Muslim)

Saya tidak berani komen mengenai persepsi masyarakat tetapi seperti sedia maklum manusia sukar untuk menerima hakikat sebenarnya kecuali mereka yang benar-benar mencari kebenaran fakta dan kepalsuan fakta.

Fasal kedua dan ketiga; zikir selepas solat secara berjemaah tidak pernah dilakukan pada zaman nabi saw. Jika ada pun, imam membacakan zikir dengan jahr bertujuan untuk mengajar kepada makmum dan apabila makmum sudah pandai maka diperlahankan bacaan zikir tersebut. Dalam konteks ini, diajarkan kepada umat Islam zikir-zikir yang sahih dan tidak pula pada zikir-zikir yang dhaif.

Firman Allah swt:
Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.

Surah Al-'Araaf: 205

Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaulhusna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam salatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu

Surah Al-Isra':110

Kata Imam Syafie dalam kitab besarnya, Al-Umm:
"Aku (Imam Syafie) memandang baik bagi imam dan makmum bahawa berzikir kepada Allah sesudah keluar (selesai) solat. Kedua-duanya hendaklah menyembunyikan zikir (perlahankanlah) kecuali jika dia itu merupakan imam yang harus dijadikan rujukan bagi orang yang ingin belajar." - Kitab al-Umm kitab besar al-Imam al-Syafie

Malah di dalam kebanyakan buku teks pondok, Fathul Mu'in menyatakan hal yang sama:
"Sunnah sesudah solat, zikir dan berdoa dengan suara perlahan. Maksudnya, sunnah melakukannya dengan suara perlahan bagi munfarid (solat bersendirian), makmum dan imam yang tidak bermaksud untuk memimpin hadirin atau memperdengarkan doanya agar diaminkan oleh mereka" - Fathul Mu'in - Syeikh Zainuddin Abdul Aziz al-Malibariy

Pandangan Imam Syafie r.h. berbeza dengan amalan yang diadaptasikan kepada masyarakat kita mengenai tatacara berzikir selepas solat sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya Sunan al-Kubra:
"Sesungguhnya zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sir) kecuali imam ingin mengajar zikir itu kepada manusia. Oleh itu, zikir boleh dikuatkan (jahr) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah dipelajari dna diketahui, zikir dan doa itu hendaklah diperlahankan (secara sir)" - Rujuk Zikir-Zikir Selepas Solat Fardu Sebagaimana yang Diajar dan Dilakukan Oleh Rasullah saw karya Hafiz Firdaus Abdullah

Justeru itu, kita dapati bahawa Imam Syafie sendiri bercanggah pendiriannya dengan masyarakat kita. Jadi, mengapa kita tidak mengikut pegangan Imam mazhab kita andai 'benar' pengikut Imam Syafie? Tepuk dada tanya iman luaskan pemikiranmu dan janganlah bertaqlid buta seolah-olah katak di bawah tempurung. Jika diamati dengan teliti menerusi nas-nas Al-Quran dan hadith, tiada satu pun zikir-zikir jahr yang selalu diperdengarkan di masjid-masjid adalah daripada nas yang sahih. Perbincangan lanjut mengenai zikir jahr dan sir boleh rujuk DI SINI.

Ketahuilah bahawa kebanyakannya ditokok tambah daripada yang asal. Versi original boleh tengok Hisnul Muslim karangan al-Syeikh Said Ali Wahf Al-Qahthan, Zikir Pagi Petang & Selepas Solat karangan Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman dan Wirid Rasullah saw Pagi Dan Petang karangan Dr. Abdullah Yasin. Contoh zikir selepas solat yang sahih http://i375.photobucket.com/albums/oo192/amkbg/zikirSelepasSolat.jpg.

Semoga kita semua berada di dalam jalan sunnah nabi saw dan berpegang teguh kepadanya seperti saranan nabi saw di dalam wasiatnya iaitu:
Dari Abi Najih al-'Irbad bin Sariah r.a. katanya: Telah menasihati kami oleh Rasullah saw akan satu nasihat yang menggeletarkan hati daripadanya dan menitis air mata. Lalu kami berkata : Ya Rasullah! Seolah-olahnya inilah nasihat yang terakhir, maka berilah kepada kami satu pesanan.

Ia bersabda: Aku berwasiat kepada kamu dengan bertaqwa kepada Allah 'Azza Wa Jalla dan mendengarkan serta taat, sekalipun kepada seorang hamba yang memerintah kamu. Kerana sesungguhnya barangsiapa yang hidup daripada kamu, maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Sebab itu, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khalifah al-Rasyidin al-Mahdiyyin (yang mengetahui kebenaran serta mengikutinya, yang mendapat pimpinan ke jalan yang betul) dan gigitlah kamu dengan geraham gigi kamu.

Dan jauhi oleh kamu akan perkara-perkara yang baru diada-adakan. Kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah (perkara-perkara baru yang diada-adakan) itu adalah sesat.

(Hadith hasan sahih riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kuala Lumpur
2 Oktober 2009/12 Syawal 1430H

* Penulisan yang dipindahkan daripada Tajdid Dakwah

0 comments:

Post a Comment