Ads 468x60px

Wednesday 7 March 2012

Bila Mahu Kahwin?

السلام عليكم ورحمة الله وبركة


Pernikahan itu suatu yang kompleks

Apabila memasuki tahun 2012, aku merasakan bahawa usiaku meningkat tahun demi tahun, kematangan diri meningkat melalui aspek pemikiran, rasional dan tindak balas, dan penyusunan jadual harian berubah daripada tidak efisyen kepada efisyen, produktif dan stabil. Namun, di dalam cermat menyusun hidup ini ada satu kekurangan iaitu menyempurnakan kewajipan 'separuh agama'. Aku sudah banyak kali memikirkan akan hal ini namun aku masih merasakan aku perlu membuktikan bahawa diri aku ini benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental, psikologi, tanggungjawab dan akhlak.

Tahun ini, usiaku memasuki 24 tahun. Satu usia yang sudah hampir mencecah kepada umur pra-matang yang ideal iaitu 25. Di usia inilah, kebanyakan lelaki akan banyak berubah dari segi sifat, sikap dan perilaku. Kalau dulu, mentah dan kurang terbuka dari segi pemikiran, sosiologi dan kehidupan sosial tetapi selepas memasuki umur di antara 24 hingga 25, maka mereka telah membuka dimensi baru di dalam arus kehidupan.

Ramai juga di kalangan sahabat handai mahupun keluarga sendiri yang bertanya tentang kesediaan aku untuk menamatkan zaman bujang. Bahkan ada juga orang awam yang mempunyai urusan kerja dengan aku bertanya tentang hal ini. Apa jawapan aku? Jawapan umum: "Belum jumpa calon lagi." Ini sebenarnya jawapan mengelak sebabnya aku masih cuba untuk menerapkan dalam diri bahawa aku ini benar-benar seorang yang berdedikasi dalam tanggungjawab kemudian barulah aku akan bersedia untuk ke arah ini. Selagi belum mencapai tahap tanggungjawab yang aku inginkan, maka aku terpaksa tangguhkan. Ini demi mengelakkan perkara yang tidak elok berlaku kepada bakal keluarga aku nanti.

Dengan dunia teknologi yang sangat mencabar, aku merasakan bahawa dalam mendepani isu mengakhiri zaman bujang adalah suatu yang mustahak bagi anak-anak muda yang sudah mencapai umur di antara 24 hingga 25. Tetapi untuk diri aku adalah suatu yang kompleks. Bukan kerana ingin mengejar 'perfection' tetapi nak mengelakkan daripada mudharat berlaku.

Walau bagaimanapun, aku tidak mendesak untuk melengahkan perkara yang baik ini. Perkara seperti ini seharusnya dipercepatkan. Lebih-lebih lagi apabila tahun ini ramai sahabat-sahabat aku yang bakal menamatkan zaman bujang mereka. Yang lebih memedihkan apabila mendapat sahabat baik aku yang tahun lepas selepas mendirikan rumahtangga telah pun menerima cahaya matanya yang pertama pada hujung Februari. Tetapi, seperti sudah maklum terdapat ramai manusia yang tidak mampu melaksanakan. Sebagai langkah pencegahan, kita disyorkan untuk berpuasa.

Wahai sekalian para pemuda barang siapa diantara kalian telah mampu baah (menikah dgn berbagai macam persiapannya) hendak menikah krn menikah lbh menundukan pandangan dan lbh menjaga kehormatan. Barang siapa yg belum mampu menikah hendaklah puasa krn puasa merupakan wijaa (pemutus syahwat) baginya.” HR. Bukhori (4/106) dan Muslim (no. 1400) dari Ibnu Masud

Walau apa jua keadaan, aku akan berusaha untuk menjadi seorang yang benar-benar bertanggungjawab dalam hal kepimpinan, psikologi, sosiologi dan kehidupan bersosial. Maka, di saat itu aku akan memastikan bahawa aku sudah bersedia untuk menerima seorang isteri yang bakal menjadi teman hidupku sepanjang hayat. Doakan agar dipermudahkan urusan ini. Ini bukan soal memilih calon tetapi soal kepimpinan dan tanggungjawab di dalam diri.


Ikmal Johari
Ipoh, Perak
7 Mac 2012/13 Rabiulakhir 1433H

0 comments:

Post a Comment