السلام عليكم ورحمة الله وبركة
Pernikahan itu suatu yang kompleks
Apabila memasuki tahun 2012, aku merasakan bahawa usiaku meningkat tahun demi tahun, kematangan diri meningkat melalui aspek pemikiran, rasional dan tindak balas, dan penyusunan jadual harian berubah daripada tidak efisyen kepada efisyen, produktif dan stabil. Namun, di dalam cermat menyusun hidup ini ada satu kekurangan iaitu menyempurnakan kewajipan 'separuh agama'. Aku sudah banyak kali memikirkan akan hal ini namun aku masih merasakan aku perlu membuktikan bahawa diri aku ini benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental, psikologi, tanggungjawab dan akhlak.
Tahun ini, usiaku memasuki 24 tahun. Satu usia yang sudah hampir mencecah kepada umur pra-matang yang ideal iaitu 25. Di usia inilah, kebanyakan lelaki akan banyak berubah dari segi sifat, sikap dan perilaku. Kalau dulu, mentah dan kurang terbuka dari segi pemikiran, sosiologi dan kehidupan sosial tetapi selepas memasuki umur di antara 24 hingga 25, maka mereka telah membuka dimensi baru di dalam arus kehidupan.