Ads 468x60px

Monday 12 November 2012

Majlis Ilmu Ustaz Halim Hasan

Alhamdulillah. Hari ini telah ditakdirkan oleh Allah swt untuk menghadirkan diri ke majlis 'ilmu oleh Ustaz Halim Hasan di Yayasan Ta'lim. Membincangkan tajuk mengenai "Kewajipan Bekerja Untuk Islam."

Antara mutiara ilmu yang dapat dikutip ialah tentang nikmatnya kebergantungan hamba kepada Allah melebihi segalanya bila melibatkan soal rezeki dan hubungkaitnya dengan iman.

Beliau memetik sebuah ayat yang cukup mengesan pada jiwa iaitu dalam surah al-Qasas ayat 77:
َ
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".


Ayat ini menyarankan agar manusia merebut habuan akhirat semaksima yang mungkin. Ada perkara yang halal di dunia, jangan lupa di dunia. Perkara yang haram tinggalkanlah ia. Contohnya keperluan asas seperti makan perlu kita ambil kerana ia merupakan hak bagi perut kita. Perkara yang perlu kita tinggalkan adalah riba kerana ia menyusahkan diri dan menambahkan dosa pada diri kita.

Dalam surah an-Nur ayat 37 pula ada disebutkan:

"(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."

Golongan seperti yang disebutkan oleh di atas, Allah kagum. Kerana jiwa mereka sering terpaut dan tidak lalai dengan Allah. Bagaimana hendak menjadi seperti mereka? Ia dikaitkan dengan ayat 77 dalam surah al-Qasas.

Wajarlah hubungan dengan Allah diperkukuhkan agar ia memiliki habuan akhirat. Kelancaran hidup tidak mudah andai tidak dititipkan ujian dan dilenturkan dengan sakinah. Oleh sebab itu, Allah beritahu dalam surah fath ayat 4:

"(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
Oleh kerana itu, kehidupan ini dilihat tidak lengkap jika semuanya tertuju kepada usaha tulang empat kerat. Ia perlulah dengan keimanan yang mendalam kepada Allah, doa, istighfar, dan tawakkal.

Bab rezeki dan tawakkal, semua ini terletak pada urusan Allah azza wajalla. Bukannya pada manusia.
Allah swt pernah berfirman dalam surah at-Talaq:

"dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

Begitulah Allah menceritakan kehebatan dan tingginya tawakkal orang mukmin kepada-Nya andai mereka benar-benar yakin terhadap janji Allah.

Wallahu'alam.

Ikmal Johari

0 comments:

Post a Comment