Ads 468x60px

Thursday 31 March 2011

Rakan Sebagai 'Teman Ajaib'

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Jalinan ukhuwah persahabatan umpama aur dengan tebing. Persahabatan merupakan kunci perpaduan umat Islam. Erti persahabatan sebenarnya harus didasari daripada segi iman dan bukan dari segi material. Di dalam mengecapi kehebatan dalam persahabatan, harus mengenepikan soal perbezaan pendapat di kalangan sahabat demi mendapatkan ukhuwah silaturrahim sesama insan. Sesungguhnya, kehebatan di dalam persahabatan ianya dapat dilihat apabila sahabat ini membantu di dalam mehnah ujian dan juga musibah yang melanda sahabatnya. Inilah yang dikatakan rakan sebagai 'teman ajaib'.

Peranan 'teman ajaib' sangat luar biasa. Kita boleh lihat peranannya dalam soal memberi nasihat ketika kita berada di dalam kesenangan dan juga memberi bantuan kepada kita apabila dilanda kesusahan. Tetapi, untuk mencari 'teman ajaib' yang benar sangatlah sukar. Khususnya, ketika kita ditimpa musibah, kebanyakan rakan yang kita kenali biasanya akan berpecah kepada dua golongan.

Golongan Pertama: Mereka akan meninggalkan kita kerana mereka berkawan dengan kita ketika kita senang sahaja.

Golongan Kedua: Mereka mendekati kita pada keadaan senang dan susah. Tetapi, kebiasaan yang mendekati itu sering kali memberi kata-kata nasihat dalam mendepani ujian daripada memberi bantuan dan pertolongan.

Sebenarnya, dalam konsep ukhuwah kita bukan sahaja harus memberi kata-kata perangsang kepada rakan kita agar terus kuat menempuh hidup tetapi kita perlu memberikan lebih daripada itu. Berikanlah juga bantuan dan pertolongan melalui kudrat kita kepada rakan kita. Kata-kata perangsang memang memberi kesan yang positif dalam kehidupan rakan kita untuk kuat dalam kehidupan tetapi untuk lebih kuat, rakan kita juga memerlukan bantuan dan pertolongan kita yang bukan sekadar ucapan semata.


Sahabat yang baik adalah mereka bersama kita ketika senang dan ketika kita susah

Ingatlah, bahawa ukhuwah kita antara sahabat di dalam persahabatan perlu didasari atas cinta keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. menyebut mengenai sifat persahabatan di kalangan orang-orang yang beriman di dalam surah al-Hujuraat ayat 10:


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.

Persahabatan yang berlandaskan saling cinta kerana Allah akan menghasilkan kemanisan iman, sebagaimana Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud, "Ada tiga perkara yang apabila seseorang memilikinya, dia akan mendapat kemanisan iman, iaitu Allah dan RasulNya lebih dia cintai daripada selain keduanya, dia mencintai seseorang tidaklah dia mencintainya kecuali kerana Allah, dan dia tidak suka kembali kepada kekufuran setelah Allah membebaskan darinya sebagaimana dia tidak suka dilemparkan ke dalam api." (HR. al-Bukhari)

Maka, sesungguhnya perlulah kita menolong sahabat kita ketika susah dengan pelbagai cara dan bukan hanya dengan kata-kata semata. Dan lihatlah firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Hasyr ayat 9:


Dan orang-orang yang telah mendiami kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

Kaum Ansar yang terlebih dahulu duduk di kota Madinah, mereka mendahulukan saudara mereka daripada kaum Muhajirin dalam segala keperluan, sedangkan mereka sendiri memerlukannya.

Sungguh sangat menakjubkan, seorang sahabat Ansar yang memiliki dua isteri ingin menceraikan salah satu isterinya. Kemudian setelah masa 'iddahnya berakhir dia ingin menikahkannya dengan sahabatnya daripada kaum muhajirin. Adakah wujud bentuk itsar yang lebih daripada ini? (Aysarut Tafaasir, Syaikh Abu Bakr Jabir Al Jazairi)


Wallahu'alam

Ikmal Johari
Kuala Lumpur
31 Mac 2011/ 26 Rabiul Akhir 1432H

0 comments:

Post a Comment