Ads 468x60px

Thursday 4 August 2011

Ramadhan Bulan Mengawal Nafsu, Bukan Membiarkan Nafsu

Alhamdulillah, Ramadhan sudah tiba. Ketibaan Ramadhan disambut dengan gembira oleh umat Islam. Tidak kira mereka ini beriman atau tidak, memang kebanyakan daripada umat Islam akan menyambut Ramadhan. Kalau tak percaya, cuba lihat berapa ramai orang di bulan Ramadhan yang puasa? Boleh dikatakan hampir keseluruhan orang Islam berpuasa cuma dari segi amalan dan penghayatan tentang Ramadhan itu boleh disemak "check and balance."

Dalam menyambut Ramadhan ini, ada dua golongan yang bergembira kerana datangnya Ramadhan. Golongan pertama adalah golongan yang merebut ganjaran pahala berganda di sepanjang bulan Ramadhan. Golongan kedua pula adalah golongan yang berpesta makanan di bulan Ramadhan dengan memborong berbagai-bagai makanan di bazaar Ramadhan.

Golongan Pertama

Mereka yang berada di golongan pertama ini adalah apabila tibanya Ramadhan, secara spontan akan terasa bahawa Allah menyayangi mereka kerana mengurniakan lagi Ramadhan kepada mereka. Ramadhan adalah bulan rahmat, bulan yang mana diberikan kemudahan untuk melakukan kebaikan dan amal soleh, serta mudah menggandakan amalan berbanding bulan-bulan lain.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim:
"Tidak bagi hamba yang berpuasa satu hari demi mengharapkan keredhaan-Nya, kecuali Allah menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak 70 tahun perjalanan".
Hadis ini sebenarnya sebagai perisai dalam mengamalkan syariat berpuasa. Ini bagiku, sebagai kemudahan untuk melakukan syariat berpuasa serta amalan-amalan sunnah yang lain yang dianjurkan di dalam bulan Ramadhan. Ini kerana dengan berpuasa dapat menjauhkan diri daripada api neraka.

Golongan Kedua

Mereka ini apabila datangnya Ramadhan bukannya menyambut seperti hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari iaitu:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang terdahulu".
Tetapi, mereka menyambutnya kerana pada ketika itu terdapat berbagai-bagai juadah makanan di sepanjang bulan Ramadhan. Bazaar Ramadhan muncul pada bulan Ramadhan dengan aktiviti yang cukup hebat. Kalau pergi ke bazaar Ramadhan walaupun hendak membeli beberapa jenis kuih tetapi kalau iman tak dikawal dengan rapi, terbeli juga makanan yang lain.


- Gambar Hiasan -

Itulah kalau nafsu tidak dikawal rapi padahnya adalah membeli entah berapa macam juadah untuk berbuka puasa. Apabila berbuka puasa, hanya sedikit sahaja yang larat dimakan dan lain yang tidak dapat dihabiskan dibazirkan begitu sahaja. Sesungguhnya inilah perkara yang buruk untuk dilakukan oleh umat yang telah Allah pilih di kalangan yang terbaik.

Semoga kita mendoakan diri kita semua agar dijauhkan daripada melakukan pembaziran makanan apabila tibanya waktu berbuka puasa.

Solusi

Untuk mengelakkan daripada kita tergolong daripada golongan kedua, mungkin saranan yang berkesan dan mudah ialah amalkan sunnah Rasulullah SAW ketika mana beliau hendak berbuka puasa. 

Apa yang Rasulullah SAW amalkan? Rasulullah SAW mengamalkan dengan memakan beberapa biji rutab atau tamar atau beberapa teguk air ketika hendak berbuka puasa. Ini merujuk daripada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA, iaitu:
"Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air." 
(Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Sekali kita makan semasa berbuka puasa sudah merasai bahawa perut tidak dapat menampung makanan yang banyak. Itu sudah menjadi fitrah apabila berpuasa seharian. Jadi, wajar kita mengurangi pengambilan berbagai-bagai juadah berbuka puasa. Juadah berbuka puasa biar sedikit atau sederhana tetapi mencukupi daripada banyak tetapi tidak habis lalu membazir.

Jadi, kalau Ramadhan kali ini kita asyik membiarkan nafsu mengawal diri ketika hendak berbuka puasa ini bermakna kita belum benar-benar menguatkan diri kita dengan keimanan yang kuat dalam melawan nafsu makan. Harus bagi kita untuk kawal nafsu bukan membiarkan nafsu menguasai diri kita.

Insya Allah jika kita kawal nafsu kita dengan sepenuh iman, maka nafsu tidak akan mudah melarikan diri daripada kawalan kita. Dengan ini, apabila tibanya waktu berbuka puasa makanan yang membazir dapat dicegah.

Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
4 Ogos 2011/4 Ramadhan 1432H

0 comments:

Post a Comment