Ads 468x60px

Saturday 12 March 2011

Binalah Kekuatan Diri

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Tahun 2010 menuju ke penamatnya. Adakah pada tahun ini kita telah melakukan yang terbaik untuk diri kita, keluarga kita dan agama kita? Jika tidak, mari kita perbaharuinya sempena kedatangan tahun 2011 untuk melakukan yang lebih baik dan paling tidak memberi manfaat kepada Islam sebagai seorang muslim. 

Kalau dulu kita kurang mementingkan kepentingan aqidah dan tauhid dalam Islam malah sering melakukan perkara yang dibenci oleh Allah SWT seperti melakukan syirik, bid'ah dan khurafat, maka pada 2011 kita berazam agar kita dapat memperkuatkan aqidah dan tauhid kita kepada Allah SWT daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan syirik, bid'ah dan khurafat.

Kalau dulu kita sentiasa malas bersolat, malas pergi ke majlis ilmu, malas membaca bahan bacaan yang menambah ilmu pada diri kita dan malas membaca al-Quran serta berzikir, maka pada 2011 kita berazam agar semuanya berubah untuk kita rajin melakukan amalan-amalan mulia ini.

Kalau dulu kita sentiasa malas dalam melakukan aktiviti dakwah, aktiviti sukan, aktiviti yang melibatkan gerak kerja di antara masyarakat dan lain-lain aktiviti yang berkaitan dengan diri kita, maka pada 2011 kita berazam agar semuanya berubah untuk kita rajin melakukan aktiviti-aktiviti ini.

Kalau dulu kita sering mengkritik, menghina, mencaci, mengutuk, menfitnah, mentohmah, menuduh, memaki hamun dan menyesatkan serta mengkafirkan kepada individu atau badan-badan pertubuhan, maka pada 2011 kita berazam agar perkara ini tidak berulang lagi dan memohon maaf kepada individu atau badan-badan pertubuhan yang berbabit terhadap kata-kata nista kita itu.

Kalau dulu kita sering berbalah dengan sahabat-sahabat kita sama ada mereka itu rakan sekolah, rakan universiti, rakan semanhaj, rakan sejamaah, maka pada 2011 kita berazam agar kita merapatkan balik ukhuwwah yang pernah terjalin di antara mereka dan kita. Tinggalkan perkara yang diperdebatkan itu kerana perselisihan pendapat itu adalah normal tetapi yang lebih utama adalah persahabatan.


- Gambar Hiasan -

Maka, saranan saya adalah binalah kekuatan dalam diri kita masing-masing. Sebenarnya, masing-masing ada kelebihan yang tersendiri yang telah Allah SWT beri. Cumanya, kita perlu menunjukkan kelebihan itu dengan berusaha dengan kuat dan gigih. Bermula sekarang, kuatlah dirimu dan jangan lemahkan dirimu dengan mengikut kehendak hawa nafsu, kegoan dan 'syurga dunia'.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Rad ayat 11:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.


Wallahu'alam.


Ikmal Johari
Kuala Lumpur
31 Disember 2010/25 Muharram 1431H

* Penulisan yang dipindahkan daripada Tajdid Dakwah

0 comments:

Post a Comment