Ads 468x60px

Friday 11 March 2011

Bersembang Di Warung Kopi

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Satu perkara yang menarik kepada anak muda apabila kebanyakan daripada golongan ini pergi berpesta tetapi ada sebilangan kecil daripada golongan ini yang memilih untuk mencari ilmu. Saya antara golongan yang kecil itu dan alhamdulillah pada hari selasa saya telah menghadiri ke kuliah Ustaz Fathul Bari di Kolej ke-5 UM iaitu Wasiat Nabi SAW Kepada Para Pemuda dan Pemudi. Sungguh bermakna. Antara intipati yang dapat diambil daripada kuliah tersebut yang bermanfaat adalah:
  1. Kenali Nabi SAW dan mencintai Nabi SAW melalui peribadi beliau daripada kitab sirah
  2. Mendahulukan apa yang Nabi SAW katakan/lakukan
  3. Beradab dgn Nabi SAW iaitu berselawat apabila nama Nabi SAW disebut
  4. Ittiba' - ikut apa yang Nabi SAW lakukan di dalam amalan beliau dan praktikkannya dalam amalan kita dengan tidak menokok-tambah kerana ianya perkara yang dilarang
Selepas selesai kuliah, saya berkesempatan berjumpa dengan sahabat-sahabat seperjuangan iaitu Fahmi, Faruqi dan Taufiq. Mereka ini merupakan pelajar kejuruteraan di Universiti Malaya. Sembang-sembang dengan mereka di warung Kampung Kerinchi sambil pekena minuman kegemaran masing-masing. Duduk di warung kopi bukan sembang kosong tetapi sembang perihal Islam dan dakwah setelah pekena suntikan semangat membangkitkan untuk mengajak manusia lebih mengenali sunnah-sunnah Rasullah saw. Seperti kata Dr Asri di dalam artikel beliau iaitu Menliai Meja Kopi:
Perbualan yang diisi dengan ilmu dan nasihat serta lontaran cadangan dan idea yang baik, amatlah diperlukan oleh insan yang ingin membangun. Meja kopi dan teh boleh menjadi meja ilmu dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan kesabaran atas amanah perjuangan seperti yang diajar oleh Surah al-‘Asr.
- Gambar Hiasan-
Ya. Perbualan yang diisi dengan perbincangan ilmiah dan bermanfaat untuk penjanaan fungsi otak lebih banyak berfikir menyebabkan otak dapat merangsang buah fikiran yang bermanfaat untuk semua. Kami bersembang dan bertukar fikiran bagaimana hendak menghidupkan sunnah nabi SAW di dalam masyarakat di samping dicop 'wahabi' pada masa yang sama. Kehidupan sebagai seorang muslim bukanlah dengan taklid terhadap tok gurunya dan tok gurunya sahaja yang betul tetapi seorang muslim mesti berdaya kritis dengan hujjah dan bukannya dengar cakap tok guru sahaja. Kalau hanya mendengar cakap tok guru, maka jika tok guru suruh mencuri, mencuri diikuti juga ke? Mestilah tidak sebab manusia ada rasional dalam kewarasan berfikir. Apabila tak kena dengan amalan masyarakat Malaysia sahaja dituduh wahabi? Mengapa berlaku sedemikian? Bukankah Islam mudah?

Islam datang kepada manusia bukannya dengan bertaklid buta terhadap sesuatu perkara tetapi Islam datang kepada manusia dengan hujjah dan rasional yang waras dalam mendekatkan diri kepada Al-Quran dan Sunnah. Jika dibawakan hujjah ialah Al-Quran dan Sunnah wajib diikuti dan jangan mengingkari tetapi jika hujjahnya tidak berdasarkan Al-Quran dan Sunnah dan tidak ada satu kriteria langsung mendekatkan kepada nas-nas ini maka ianya harus ditolak. Amatlah tidak wajar jika hendak taklid kepada tok guru sedangkan nabi saw lebih baik daripada tok gurunya.

Sembang-sembang yang difokuskan adalah tumpuan dalam mendekatkan remaja ke arah sunnatullah dan hujjah dibalas dengan hujjah apabila datang bala fitnah terhadap golongan yang mempertahankan sunnah nabi saw. Mengapa remaja aset penting dalam dakwah Islam? Kerana remaja merupakan suatu manfaat besar terhadap dakwah Islam. Remaja tongkak masa depan dan apabila dimanfaatkan kepada mereka, mereka akan menyebarkan kepada rakan-rakan mereka dan seterusnya kepada generasi seterusnya dan akan berkembang biak menjadi potensi sebagai aset terbaik di dalam dakwah. Di dalam persekitaran remaja, begitu mudah membentuk suatu jamaah kerana di dalam kumpulan mereka terdapat di kalangan mereka yang begitu mempersonakan, menarik perhatian dan pemberi semangat idea-idea baru. Oleh itu, harus dimanfaatkan pengaruh remaja ini sebagai medium di dalam menggerakkan kerja-kerja dakwah untuk Islam.

Fokus perbincangan lain adalah seandainya jika suatu fitnah melanda kepada umat Islam, apakah yang harus dilakukan pada saat itu? Adakah dengan menjadi tidak tentu hala atau hanya meminta pandangan nasihat daripada pihak agamawan sahaja yang barangkali bukan semua betul? Fokus pada saat itu ialah jika fitnah melanda haruslah dibalasnya dengan hujjah yang sarat dengan fakta dan berilmiah. Inilah kekuatan di dalam dakwah Islam. Apabila ditimpa fitnah, maka hujjah dibalas dengan hujjah dan segalanya akan dibuktikan kebenaran siapa di pihak yang benar dan siapa di pihak yang salah apabila hujjah digunapakai. Tetapi awas apabila hujjah dibayar dengan darah maka akan menimbulkan pelbagai persoalan dan kemusykilan. Sifirnya mudah, jika di pihak yang salah katakan sahaja bahawa anda salah. Janganlah sehingga habis hujjah guna fitnah maka sebab itu terjadinya hujjah dibayar dengan darah sehingga tercetus suatu pertelingkahan.

Ingatlah bahawa Allah swt berfirman di dalam Surah Ali-Imran ayat 103:
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai
Oleh sebab itu di dalam mendepani ujian fitnah, hujjah mesti dibalas hujjah dengan hujjah yang lebih tepat faktanya yang menidakkan kebatilan hujjah fitnah.
Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.

(Surah Az-Zumar: Ayat 18)
Kekuatan hujjah apabila datangnya bukti dan fakta yang kuat dari segi nas yang sahih dan diterima kewarasan akal. Jika tidak, maka ianya hanya menjadikan hujjah yang batil dan tidak dapat menandingi kebenaran hujjah yang bersifat fakta yang sahih.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kuala Lumpur
27 Februari 2010/13 Rabiul Awal 1431H

* Penulisan yang dipindahkan daripada Tajdid Dakwah

0 comments:

Post a Comment